Tentang Aku
"And again it’s me, myself and I.." sebahagian lirik lagu Girl Friday dendangan kumpulan Butterfingers yang jadi hiburan zaman remaja aku.
Kolum ‘Private Sphere’ ini adalah kolum untuk aku menulis hal-hal bersifat aku. Mungkin lebih banyak cerita sehari-hari tentang apa yang aku buat. Menulis adalah bahagian terapi untuk aku.
Sebagai tulisan awal di blog peribadi ini, aku rasa elok untuk aku kenalkan sedikit sebanyak latar belakang diri aku.
Nama aku mengikut sijil kelahiran, kad pengenalan dan lesen memandu, seperti yang telah dipilih oleh kedua ibu bapa aku - Noor Amin bin Ahmad. Dilahirkan pada 20 Februari 1982 di Hospital Besar Kangar, Aku adalah anak ketiga daripada 6 orang adik beradik.
Ayah, Ahmad bin Abdullah lahir pada 15 Oktober 1951. Ayah bekerja di banyak tempat dan yang terakhir di Mahkamah Tinggi Negeri Perlis. Kini telah bersara dan meneruskan kerja professional sebagai Pesuruhjaya Sumpah. Emak, Tengku Hamidah binti Mas Abdullah Akhir lahir pada 15 Mac 1950 dan kini adalah seorang pesara jururawat.
Abang sulung aku Noor Ariff bin Ahmad, lahir pada 31 Disember 1975 dan kini bekerja di Singapura. Sebelum ini dia pernah bekerja dalam pelbagai lapangan di Kuala Lumpur dan pekerjaan yang paling glamour sudah tentu sebagai pelukis majalah Boom dengan nama kartunisnya Eye (sebuah majalah kartun terbitan Ahadiat Akashah) dan sebagai pelukis di majalah Ujang (dengan nama kartunisnya Gandum).
Arwah kakak - Puteri Noor Akhmar binti Ahmad meninggal pada ketika umur aku 5 tahun. Jika dia masih hidup, usianya lebih 2 tahun daripada aku. Meninggal kerana demam panas. Al-Fatihah.
Aku punya 3 adik - 2 lelaki dan seorang perempuan. Adik aku yang pertama - Noor Akhbar bin Ahmad, lahir pada 26 Jun 1985. Akhbar menghidap sakit sawan sejak berusia 4 bulan. Seterusnya Mohamad Naim bin Ahmad, 6 Jun 1988 dan adik bongsu aku Puteri Noor Liyana binti Ahmad, 23 Disember 1990.
Aku tinggal dan membesar di Perlis sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia sejak tahun 2000 - Diploma Perhutanan, Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan dan kini Master Sains (Pengurusan Taman dan Rekreasi).
Minat aku pada soal kemanusiaan dan hal-hal yang bersangkutan dengannya. Dalam banyak masa aku habiskan untuk berinteraksi - maya atau nyata, serius atau santai, membaca, outdoor, muzik, menonton dan berfikir tentang persoalan ilmu dan isu semasa.